Ada apa dengan Kelantan?

Si kecil bernama Alya



“Jahatnye, macam serbuk cili!” Alya yang tidak puas hati dengan kelakuan watak jahat dalam kartun animasi bertajuk Delgo.



Serbuk cili. Haha. Aku hanya membiarkan anak makcik urut itu berceloteh. Kerana aku suka akan budak-budak yang berceloteh. Comel. Usah dibiarkan begitu. Aku sengaja menanyakan soalan supaya ia berfikir. Merangsang mindanya yang masih muda. Segala macam komen keluar dari mulutnya. Aku hanya mampu tersenyum.



“Alya suka warna milo...”



Accent Kelantan. Sekali lagi, aku hanya tersenyum. Layan



"Abang, jom lukis-lukis. Abang lukis ikan. Alia pilih warna." Layan



....


Perjalanan ke Kota Bharu



Aku hampir tewas pada pagi itu. Bengkak pada lututku menjadi-jadi. Hati amat berat hendak melangkah keluar rumah menuju ke Kota Bharu. Ujian baru sedikit. Terpaksa mengambil teksi ke stesen Putra. Mahal. Tetapi tidak mungkin aku mampu tahan berdiri begitu lama dalam komuter yang pada ketika itu dipenuhi mereka yang ingin ke pejabat.



Aku selamat sampai. Lewat sehari. Tetapi selamat.



Kolej Jaiputra





Kolej milik ikhwah ini tidaklah mewah. Tetapi suasananya sangat tenang. Tiada bunyi kereta. Tiada bunyi hon. Udaranya segar. Pemandangan typical sebuah kampung di Kelantan. Sungguh, aku amat menghargai setiap saat di sana.



Walaupun aku dibesarkan dalam suasana yang boleh dikatakan mewah, jiwa itu lebih tenang apabila ia “dekat pada fitrah”, bak kata Azmi. Nafsu lebih mudah ditewaskan dalam keadaan serba kekurangan. Tiada katil empuk. Kipas yang satu dikongsi lapan. Berselimutkan kain pelekat semata-mata. Alhamdulillah. Mudah celik mata.



KIBAR 2009





Kursus Intensif Bahasa Arab, anjuran KONSIS Network ini sememangnya program ‘kemuncak’ tiap cuti musim panas. Alhamdulillah. Kesampaian juga hajatku untuk bertemu sahabat seperjuangan yang seakan terlalu lama tidak bersua. Diberi nama Ukhuwwah.




Kem komanden yang akhirnya meletak jawatan kerana tidak sanggup menghukum. Hidup Sirri!





Hanya di Kelantan. Goalkeeper berkalung serban.





Perlawanan bersama ikhwah Kelantan. Team bola yang terdiri dari lepasan pondok. Mengaji Kitab. Hafaz Quran. Terpegun aku dibuatnya.






Kedatangan murabbi-murabbi yang juga kurindui sedikit sebanyak menyuntik semangat ke dalam jiwa yang kian futur dengan enapan karat-karat dunia yang mengasyikkan. Risalah dan kitab dibedah. Menjadi bekalan untuk dibawa bersama bagi meneruskan perjuangan di bumi Ireland kelak





Ustadz Alias, nama yang sinonim dengan gerakan dakwah di Malaysia begitu bersemangat menyampaikan pengisian buat kami yang dahagakan tarbiyyah dan fikrah. Usianya yang lanjut langsung tidak melunturkan semangat dakwahnya yang kekal marak sejak dari bangku sekolah lagi. Moga-moga aku mati dalam keadaan bekerja untuk Islam.



Muhasabah



Perjalanan ini masih jauh. Teringat aku pada tajuk ‘Noktah bidayah As-Sohihah’ yang pernah ku dengar suatu masa di KMB dahulu. Titik tolak yang ‘sohih’. Yang berlandaskan akidah yang benar. Pemahaman yang jitu. Atas kalimah yang agung.



Mana mungkin api dakwah dalam diri dapat dikekalkan sebegitu lama kiranya permulaan, atau niat tidak diluruskan


.

Para aktivis di peringkat pelajar memang ramai. Itu lumrahnya. Kerana semangat juang para rijal atau pemuda tidak dinafikan dapat memberi ‘impetus’ atau galakan yang secukupnya untuk bergerak demi agama.



Namun system ‘tapisan’ illahi yang secara sunatullah akan memilih mereka yang benar-benar komited ke jalan ini. Apabila datang bebanan kerja. Bebanan keluarga. Pelbagai fitnah dan mehnah bakal dihadapi kelak. Pada ketika itu, ramai antara aktivis akan ‘gugur’. Itu fakta. Dan aku seharusnya takut akan fakta itu.



Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. 2:249



Begitulah ujian Allah terhadap keturunan Bani Israil. Dilantiknya Talut sebagai ketua mereka. Itupun dibantah. Disuruh taat akan arahan Talut supaya tidak minum kecuali sedikit ketika melintas sungai. Ingkar juga. Dan apabila berhadapan tentera Jalut yang ramai, berkurangan lagi jumlah tentera Talut akibat ketakutan. Tiga kali tapisan. Yang tinggal hanya segelintir.



Begitulah jua keadaan sekarang.



Tekad



Tidak. Aku sekali-kali tidak berniat untuk mengundur dari jalan yang kupilih ini. Tetapi hakikatnya aku masih belum diuji. Perjalanan aku ke sini tidaklah mudah. Tetapi jika dibandingkan dengan cabaran yang bakal dihadapi, aku takut. Ya, aku takut.



0 comments:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates